Sabtu, 31 Ogos 2019

Umur 12 tahun dah kena diabetes, rupanya suka beli air gedegang di sekolah.

KUALA LUMPUR – “Hampir terduduk saya dan isteri apabila anak sulung kesayangan, Nur Azhad Insyirah, 12, disahkan menghidap diabetes.
“Ini kerana baik saya mahupun isteri, keturunan kami tiada sejarah menghidap kencing manis dan apa yang berlaku kepada Nur Azhad memang mengejutkan” kata Mohd Tolhad Mohd Zin, 41.
Menurut Mohd Tolhad, Nur Azhad menghidap diabetes selepas kelenjar pankreasnya disahkan rosak.
Kata Mohd Tolhad, badan Nur Azhad tidak dapat menghasilkan insulin, sekali gus tidak dapat mengawal kandungan gula dalam badan.
Katanya, sejak kecil, Nur Azhad hiper aktif dan pernah digelar bayi comel kerana badannya yang sihat.
“Namun, pada cuti persekolahan 2017 lalu, berat badan Nur Azhad (ketika itu berusia 10 tahun) susut mendadak, daripada 50 kilogram (kg) kepada 36kg.
“Selain itu, rambutnya juga banyak gugur, sentiasa lemah, malah selepas makan Nur Azhad juga tidur.
“Keadaan itu menyebabkan dia malas ke sekolah dan sentiasa kepenatan walau hanya mendaki tangga untuk naik ke tingkat atas rumah kami,” katanya kepada Harian Metro.
Nur Azhad menunjukkan insulin yang diambil.
Isterinya, Azlina Awang, 37, yang bekerja sebagai jururawat berkata, dia tahu simptom penyakit diabetes namun setiap kali bertanya kepada Nur Azhad mengenai kekerapannya bangun membuang air kecil pada waktu malam, anaknya tidak memberi tahu perkara sebenar.
Dia hanya memberitahu kerap ke tandas apabila ditanya doktor dan ia jelas mengejutkan kami sekeluarga,” katanya.
Menurut Azlina, ketika mendapatkan rawatan awal Januari tahun lalu, ujian kandungan gula dalam darah Nur Azhad menunjukkan bacaan 22 dan dimasukkan ke zon merah Hospital Sungai Buloh.
Katanya, dia hanya menyedari tabiat Nur Azhad yang gemar mengambil minuman manis terutama berkarbonat melalui rakan anaknya itu.
“Dia memang kurang gemar minum air putih, setiap kali kami sekeluarga makan di luar, dua adik lelakinya cukup dengan segelas air namun dia mesti mahu lebih.
“Namun, selepas disahkan menghidap diabetes, Nur Azhad mula mengambil air putih dan dia juga belajar menjaga kesihatan diri termasuk menyuntik insulin sendiri,” katanya.
Sementara itu, Nur Azhad berkata, dia membeli minuman berkenaan di mesin minuman hampir setiap hari ketika di sekolah.
“Berbanding air minuman biasa, air manis memang lebih sedap.
“Tetapi selepas disahkan menghidap diabetes, saya tidak membeli minuman itu dan lebih berhati-hati dalam pengambilan makanan kerana tidak mahu penyakit ini menjadi bertambah teruk,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan